Nota


AKHLAK ISLAM 
1.0       Definisi Akhlak

Menurut bahasa:
Perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-akhlaku) iaitu kata jama’ daripada perkataan (al-khuluqu) bererti tabiat, kelakuan, perangai, tingkahlaku, adat kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiri. Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah
"Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia". (Al-Qalam:4)

Menurut istilah:
Ibnu Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Imam Ghazali mengatakan, akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara' dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
 

2.0     Pembahagian Akhlak

           2.1     Akhlak Terhadap Allah SWT
                      Akhlak kepada Allah SWT itu ialah bahawa manusia hendaklah:
                      1. Beriman kepada Allah.
                      2. Beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah dengan tulus ikhlas.
                      Beriman kepada Allah ialah mengakui, mempercayai atau meyakini bahawa Allah itu 
                      ada dan bersifat dengan segala sifat yang baik dan Maha Suci dari segala sifat yang 
                      buruk. Tetapi beriman kepada Allah, tidak cukup hanya sekadar mempercayai akan 
                      adanya Allah sahaja, melainkan harus juga diikuti dengan beribadah atau mengabdikan 
                      diri kepada Allah dalam kehidupan sehari-hari, mengamalkan segala perintah Allah dan 
                      dijauhinya segala larangan Allah. Semua ini dikerjakan dengan tulus ikhlas, semata-mata
                      hanya kerana Allah sahaja. 
          2.2      Akhlak Terhadap Rasul
                      Sebagai seorang nabi dan utusan Allah kepada sekelian umat manusia di dunia

                      ini, maka setiap individu muslim perlu mempunyai akhlak yang perlu dipelihara sesuai
                     dengan martabat baginda.
                      Antara akhlak yang perlu ada pada setiap individu muslim kepada Nabi Muhammad:     
                      A. Beriman kepada Rasullullah SAW.
                      B. Tunduk dan patuh kepada Rasullullah SAW.
                      C. Cinta kepada Rasulullah SAW
          2.3      Akhlak Terhadap Sesama Manusia
                     A. Ibubapa.
                     Ibubapa adalah insan yang wajib ditaati selepas Allah SWT dan RasulNya. Tidak ada     
                     seorang pun yang menyamai kedudukan ibubapa yang sangat terhormat ini, apa lagi   
                     menandinginya.
                     B. Guru.
                     Guru ialah orang yang memberi pengajaran dan pendidikan sama ada secara formal  

                     atau tidak formal. Guru mengambil alih peranan sebagai ibu bapa apabila berada di
                     sekolah. Pengorbanan dan jasa seorang guru juga cukup mengagumkan.
                     C. Rakan.
                     Pergaulan yang baik bersama rakan-rakan merupakan hasil daripada kemurniaan

                     budi pekerti dan ia dapat memenuhi tuntutan jiwa manusia untuk melengkapkan
                     hidupnya, kerana sebagai manusia kita tidak dapat hidup tanpa pertolongan orang lain.

3.0    Isu-isu Berkaitan Akhlak

 
         3.1    Tidak Menghormati Orang Tua.
                  Tidak menghormati orang yang lebih tua sama ada ibu bapa sendiri, guru

                  ataupun orang yang lebih tua dari segi umur adalah bercanggah dengan
                  prinsip akhlak Islam.
         3.2    Menipu.
                  Menipu sama ada perkara besar mahupun kecil adalah dilarang sama sekali 

                  dalam Islam. Menipu atau berdusta adalah haram dan pelakunya akan mendapat 
                  dosa dan dikeji oleh Allah SWT. 
         3.3    Mengumpat.
                  Mengumpat bererti menikam peribadi seseorang dengan memburukkan dan

                  melukai hati.
         3.4    Pergaulan Bebas.
                  Pergaulan bebas merujuk kepada gaya pergaulan tanpa batas dan peraturan

                  diantara lelaki dan perempuan yang menimbulkan banyak masalah sosial dan 
                  keruntuhan akhlak. 

4.0     Kepentingan Akhlak

          Akhlak memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dalam kehidupan 
          seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah cermin daripada 
          apa yang tersemat dalam dirinya. Sebagaimana menurut al Ghazali : "Setiap yang ada dalam 
          hati akan menzahirkan kesannya pada anggota badan sehinggalah setiap pergerakannya adalah 
          berlandaskan kepadanya:.
         4.1    Akhlak Mempengaruhi Pertimbangan
                  Akhlak yang sebati dalam diri manusia akan mempengaruhi pertimbangannya dalam 
                  menilai sesuatu perbuatan.
         4.2    Akhlak Mencerminkan Keimanan
                  Akhlak adalah cermin keimanan seseorang. Dengan erti kata lain, iman yang sempurna 
                  akan memprodukkan akhlak yang mulia. Ibarat sepohon pokok yang semata-mata 
                  bergantung kepada keelokan akarnya. Sabda Rasulullah SAW:
                  "Di kalangan mu'min yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya".
        4.3     Akhlak Sebagai Simbol Tamadun Manusia.
                  Tamadun sesuatu umat adalah terletak pada sejauh mana penghayatannya dan
                  kemurnian sumber peradabannya. Akhlak adalah sebagai mercu tanda, berjaya atau 
                  tidaknya sesuatu umat dalam melakukan proses kemajuan dan pembangunan. Tanpa
                  akhlak nescaya manusia akan berada di lembah kehinaan biar[un kejayaan material
                  yang dicapai sangat menakjubkan.
        4.4     Akhlak Pemangkin Perubahan
                  Aspek keseluruhan akhlak dan kerohanian perlulah diambil berat serta diberi pemfokusan
                  yang utama dalam melakukan setiap agenda perubahan kepada masyarakat. Sebagaimana
                  yang diulas oleh Imam As Syahid Hassan Al Banna sebagai "tongkat perubahan".

Begitulah pentingnya akhlak dalam membantu proses perubahan walaupun di saat-saat kritikal seperti
di dalam medan peperangan. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa keruntuhan akhlak dan moral
akan menggagalkan usaha perubahan. Seperti kejatuhan Khalifah Uthmaniah, adalah disebabkan
keruntuhan nilai akhlak di kalangan pemerintah dan tentera-tenteranya.

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa akhlak lebih cenderung menjelaskan sifat semula jadi seseorang. Akhlak lebih menekankan hati dan keikhlasan. Keikhlasan melambangkan kebebasan memilih dan kerelaan hati. Maka, setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh manusia adalah berpusat di hati.

1 comment: