AKHLAK RASULULLAH S.A.W
Bulan
Rabiul Awal merupakan salah satu dari bulan yang bersejarah kepada
seluruh umat Islam kerana pada bulan inilah, junjungan besar kita Nabi
Muhammad SAW diputerakan. Kita sepatutnya menyingkap kembali sejarah
perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan Islam yang dipenuhi dengan
pelbagai cabaran dan rintangan seperti ancaman bunuh, hinaan, fitnah
dan sebagainya. Namun begitu, Rasulullah Saw tetap tabah dan sabar
menghadapi segala ujian dan rintangan tersebut.
Oleh yang
demikian, sempena dengan Hari Keputeraannya, marilah kita sambut dengan
penuh keikhlasan agar kita akan kembali sedar dan insaf dengan
perjuangan Rasulullah SAW seterusnya berusaha akan menjaga kesucian dan
keagungan Islam sehinggalah ke hari kiamat.
Selain itu juga, kita
haruslah mensyukuri rahmat Allah yang telah menurunkan seorang
pemimpin agung yang telah berjaya mengubah suasana dan keadaan
kehidupan manusia jahiliah pada ketika itu sehingga menjadi lebih baik.
Namun begitu, sambutan maulidurrasul hendaklah dipenuhi dengan
program ibadat dan aktiviti untuk memuliakan baginda Rasulullah Saw
seperti bersalawat kepadanya disamping mengelakkan daripada perbuatan
yang keji dan haram seperti pergaulan lelaki dan perempuan tanpa ada
batas.
Firman Allah Swt yang bermaksud:
"Tidak kami
utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan
kepada seluruh alam".(Surah al-Anbia' ayat 107)
Sesungguhnya
Nabi Muhammad Saw merupakan Rasulullah yang ulung dan mempunyai darjat
kelebihan daripada Nabi-nabi dan Rasul yang lain. Baginda telah
diberikan kelebihan oleh Allah swt dan dikurniakan dengan
berbagai-bagai mukjizat terutamanya Al-Quranul karim yang menjadi
pertunjuk bagi umat Islam seluruhnya dan sesuai untuk segala zaman.
Sebagai seorang Islam, kita seharusnya mencintai Rasulullah Saw dengan
begitu mendalam sekali kerana baginda mempunyai sifat peribadi yang
tidak ada tolok bandingnya. Perasaan cinta tersebut tidak cukup hanya
kita lahirkan dengan perkataan semata-mata dan dengan perayaan yang
begitu hebat tetapi sebaliknya hendaklah kita berusaha meniru jejak
langkahnya terutama sifat peribadinya yang mulia. Ini disebabkan oleh,
dengan sifat peribadinya yang mulialah, baginda amat disanjung serta
dikagumi oleh umatnya serta penciptanya iaitu Allah swt. Beliau telah
diberi gelaran sebagai al-Amin ataupun yang bermaksud yang benar. Kita
seharusnya mencontohinya sebagaimana:
Firman Allah swt yang bermaksud:
"Sesungguhnya
pada diri Rasulullah Saw itu contoh teladan yang baik iaitu bagi
orang-orang yang mengharapkan rahmat dan keridaan di hari kiamat dan
sebutlah nama Allah banyak-banyak." (Surah Al-Ahzab ayat 21).
Di samping itu, Allah Swt juga telah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) sebaik-baik makhluk dan mempunyai akhlak yang paling tinggi". (Surah Al-Qalam ayat 4)
Di antara akhlak Rasulullah SAW ialah baginda sentiasa bercakap benar
dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah berdusta dalam percakapannya
disamping melakukan seperti mana yang diperkatakannya. Baginda juga
bersifat amanah sejak dari kecil lagi. Ini terbukti apabila baginda
diberikan kepercayaan menjalankan perniagaan Saiyidatina Khadijah.
Baginda Rasulullah Saw juga bersifat adil walaupun terhadap keluarganya
sendiri. Ini ditegaskan melalui sabdanya yang bermaksud:
" Demi Allah seandainya anakku Fatimah mencuri nescaya aku potong tangannya"
Rasulullah Saw juga mempunyai sifat keyakinan diri yang kental. Ini
dibuktikan melalui kejayaannya menyebarkan dakwah Islam walaupun
mendapat rintangan yang begitu kuat daripada orang-orang Arab pada waktu
itu. Satu lagi diantara sifatnya yang amat menarik ialah, baginda
merupakan seorang yang rajin berusaha dan tekun. Semasa zaman
kanak-kanak, beliau telah mengembala kambing, berniaga ketika usia
remaja dan seterusnya menyebarkan agama Islam ketika dewasa. Semasa
melaksanakan tugasnya menyampaikan wahyu Allah kepada bangsa Arab,
Rasulullah Saw tidak pernah menggunakan cara yang kasar dan menyakitkan
hati sebaliknya baginda sentiasa berlemah lembut dan bersopan santun
disamping tidak membeza-bezakan kedudukan para sahabatnya sama ada yang
kaya ataupun miskin.
Di antara kisah kesabaran Rasulullah Saw
didalam hidupnya ialah kisah bagaimana seorang perempuan tua yang suka
mengganggu beliau dengan membaling sampah apabila Rasulullah Saw lalu di
sebelah rumahnya. Tidak cukup dari itu, perempuan tua itu akan
membaling sampah dan serpihan kaca di tempat yang akan dilalui oleh
Rasulullah Saw. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah
Saw lalu di sebelah rumahnya. Dalam hal ini, sedikit pun tidak
diperdulikan oleh baginda Rasulullah Saw. Namun begitu, pada suatu hari
semasa Rasulullah Saw lalu di sebelah rumah perempuan tua itu, beliau
tidak melakukan perkara biasa sehingga menimbulkan rasa pelik kepada
Rasulullah Saw. Lalu baginda bertanya kepada jiran perempuan itu dan
diberitahu yang beliau jatuh sakit. Baginda Rasulullah Saw pun naik ke
rumah perempuan tua itu untuk menziarahinya serta tolong memasakkan air
untuknya. Budi pekerti Rasulullah Saw yang tinggi itu telah menyedarkan
perempuan itu yang akhirnya memeluk Islam.
Satu lagi kisah ialah
tentang kesabaran Rasulullah Saw iaitu, baginda Rasulullah Saw sering
pergi ke pasar untuk menyuapkan makanan kepada seorang buta. Semasa
disuapkan,, orang buta itu sering mengumpat Rasulullah Saw dan beliau
tidak tahu yang beliau sedang berhadapan dengan Rasulullah Saw. Setelah
baginda wafat, Saidina Abu Bakar telah bertanya kepada anaknya Siti
Aisyah (isteri Rasulullah Saw) apakah lagi amalan harian Rasulullah
Saw yang belum ditunaikan lagi. Lalu Siti Aisyah menjawab yang baginda
Rasulullah Saw sering mengunjungi orang buta tersebut untuk menyuapkan
makanan. Oleh yang demikian, Saidina Abu Bakar telah pergi mengunjungi
orang tua itu dan cuba menyuapkan makanan. Tetapi semasa suapan yang
pertama, orang buta itu terus marah dan bertanya "kenapa kamu suapkan
makanan kepada aku"? Saidina Abu Bakar menjawab, "Aku adalah orang yang
biasa", jawab orang buta tersebut,"kamu bukannya orang yang biasa kerana
beliau seorang yang berlainan dan beliau menyuapkan aku dengan lembut".
Lalu Saidina Abu Bakar menangis seraya menjelaskan kepada orang buta
tersebut, orang yang biasa datang menyuapkan makan tersebut telah pun
wafat dan beliau ialah Rasulullah Saw. Mendengarkan jawapan dari Saidina
Abu Bakar, orang buta itu terkejut lalu memeluk agama Islam kerana
terpesona dengan keluhuran budi pekerti Rasulullah Saw.
Akhirnya
marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah swt, iaitu dengan
mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Hiasilah perbuatan seharian kita dengan menjadikan Islam sebagai the way
of life. Maksudnya, perbuatan seharian kita mencerminkan sebenar-benar
seorang Muslim yang bertaqwa kepada Allah Swt bermula daripada bangun
mengerjakan solat Subuh sehinggalah selesai mengerjakan Solat Isyak dan
tidur. Segala perbuatan dan gerak geri kita juga hendaklah ikhlas dan
semata-mata mengharapkan keredaan Allah Swt.
Dengan lain
perkataan, kita haruslah sentiasa menjaga hubungan diantara manusia
dengan penciptanya (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia
(hablumminannas).
Dalam menjaga hubungan sesama manusia
(hablumminannas), manusia seharusnya menyemai kedalam dirinya
sifat-sifat yang baik seperti amanah, jujur, toleransi, berkasih sayang,
hormat menghormati, bersangka baik, tolong menolong dan menjauhi dari
sifat yang buruk seperti menfitnah orang lain, mengumpat, dengki
mendengki, kedekut, menipu, menganiyai sesama manusia dan lain-lain
lagi. Manakala hubungan diantara manusia dengan penciptanya
(hablumminallah), kita hendaklah sentiasa melakukan segala suruhanNya
dengan penuh ketaatan, ikhlas dan mengharapkan keredaanNya semata-mata
serta meninggalkan segala laranganNya.
Allah S.W.T sentiasa kasih dan sayang kepada umatnya yang sentiasa merapatkan silaturrahim.
ReplyDeleteAmin....memelihara hubungan silaturrahim merupakan perintah Allah dan RasulNya.Wajib bagi kita untuk menjaganya dengan sebaik-baiknya.Sesungguhnya Allah sangat marah kepada hambaNya yang memutuskan ikatan silaturrahim.
ReplyDelete